Friday, December 26, 2008

Sambutan Gerbang 2009 dan 1430 Hijrah

Assalamualaikum w.b.t kepada warga Desa Sentosa yang dihormati, hujung tahun ini, JPP Zon Desa Putra Majlis Perbandaran Sepang bersama AJK PPDS akan menganjurkan program Gerbang 2009.Program ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara penduduk-penduduk di sekitar zon Desa Putra disamping untuk mengelakkan anak-anak kita daripada mengikuti program-program yang tidak sesuai disambut serta boleh menimbulkan gejala sosial. Dengan adanya program ini, diharapkan ibu bapa dapat memberi manfaat kepada kita di Desa Sentosa serta masyarakat disekitar kita Insya'Allah.

Antara program yang dirancang adalah persembahan Nasyid jemputan iaitu kumpulan As Saufee dan persembahan anak-anak Desa Sentosa. Progran akan bermula 9 malam 31 Disember 2008 Insya'Allah. Segala bentuk sumbangan & bantuan di dalam menjayakan Majlis ini adalah amat di alu-alukan. Insya'Allah, majlis ini dapat berjalan dengan baik.

Sekian, Wassalam

Monday, October 20, 2008


Alhamdulillah Majlis Sambutan Hari Raya berjalan dengan baik dan lancar. Terima kasih kepada kaum wanita, ibu-ibu dan anak-anak yang telah bersama-sama menjayakannya. Semoga Desa Sentosa sentiasa berada dalam keadaan aman dan sentosa untuk menyambut kemeriahan Syawal tahun-tahun seterusnya.

Salam

Friday, October 17, 2008

Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Penduduk Desa Sentosa

Salam warga Desa Sentosa, anda semua dijemput hadir memeriahkan jamuan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan acara tahunan PPDS. Jamuan tahun ini akan diadakan selepas
solat Maghrib 18 Oktober 2008 (Sabtu). Dengar cerita, kaum wanita akan menyumbang tenaga tahun ini menyediakan kuah Laksa dan Lontong. Sate yang menjadi menu paling hot akan turut disediakan... Jangan takut, mesti cukup.

Semoga majlis malam esok berjalan dengan baik dan lancar. Berjumpa kita di Surau Desa Sentosa malam esok ye.

Salam

Wednesday, September 24, 2008

Catatan Ceramah Ramadhan 23 Sep 2008

CATATAN RINGKAS TAZKIRAH RAMADHAN PADA 23 SEPTEMBER 2008 / 23 RAMADHAN 1429H


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sempena dengan majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam MPOB di Pusat Hidayah pada 23 September 2008/23 Ramadhan 1429H, Ustaz Long Bin Kechik, Esekutif Latihan Kanan, Institut Latihan TNB telah memberikan satu tazkirah yang amat berguna untuk panduan dan dikongsi bersama para muslimin dan muslimat sekelian.


Beliau telah memulakan tazkirah dengan mengingatkan setiap hadirin mengenai kematian yang telah dijanjikan Allah yang akan berlaku bila-bila masa sahaja, di mana sahaja dan dalam keadaan apa sekalipun. Tiada siapa yang dapat menentukan bilakah kematiannya dan sudahkah dia bersedia untuk menghadapi kematian dan untuk diperhitungkan amalannya sepanjang hidup di dunia yang sementara ini. Selain sebagai seorang ustaz, beliau juga merupakan seorang “Guru Pengurusan” dan “Trainer” di TNB. Beliau telah berkongsi pengetahuannya dengan mengaitkan ilmu pengurusan dalam kehidupan serta penghayatan Ramadhan. Beliau telah menyatakan bahawa Allah telah menjadikan setiap manusia dengan satu matlamat (Vision atau Goal atau terminal goal) yang jelas sepertimana yang dijelaskan didalam Al-Quran “Tidak aku jadikan manusia dan jin, melainkan untuk beribadat kepadaNya”. Begitu juga Allah tidak akan melihat kedudukan kita, kekayaan kita, harta kita, rupa paras kita, warna kulit kita dan sebagainya tetapi Allah melihat kepada hati kita serta amalan atau ketakwaan kita. Allah meningkatkan darjat manusia yang bertaqwa beberapa darjat tingginya berbanding mereka yang tidak bertaqwa. Jelas Allah mahukan kita menjadi manusia yang bertaqwa dan beramal ibadat kepadanya sebagai matlamat kejadian kita.


Sasaran Allah terhadap manusia untuk ibadat puasa yang sedang kita jalankan ini juga jelas sepertimana firmannya yang bermaksud “Telah diwajibkan kepada kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan keatas umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”. Jelas Allah mahukan kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Persoalanya bagaimana kita nak mendapatkan Anugerah Taqwa Allah ini? Beliau sekali lagi menggunakan ilmu pengurusannya untuk memperkenalkan Empat Modul yang perlu dijalani untuk mendapatkan Anugerah Taqwa ini. Beliau menjelaskan setiap sasaran atau matlamat atau vision atau goal perlulah memenuhi konsep SMART – Specific, Measurable, Achievable, Realistic dan Time binding (sasaran perlulah khusus dan jelas, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai {tidak mustahil}, suatu yang nyata dan terikat dengan masa atau masanya pencapainya ditentukan).


Modul Pertama – Niat

Setiap amalan mestilah dimulakan dengan niat. Niat kita berpuasa adalah kerana Allah dan untuk mendapatkan keredhaan serta Anugerah Tawqa yang dijanjikan. Niat perlulah hidup! Niat hidup – niat yang bersungguh-sungguh dan penuh keazaman supaya menjadi kenyataan. Ianya perlu ada daya dorongan yang kuat atau mempunyai keinginan yang kuat (burning desire). Beliau memberikan contoh orang bercinta – pasangan yang mempunyai kecintaan yang kuat kepada pasangannya akan berjanji bersungguh-sungguh serta berusaha bersungguh-sungguh membuktikan cintanya agar cintanya dibalas. Begitu juga dengan Dato’ Azhar Mansor yang berniat dan usaha bersungguh-sungguh untuk mengelilingi dunia secara solo menggunakan kapal layar. Mungkin pencapaian lain (tambahan penulis), seperti Datuk Nicol David, yang telah menanam azam bersungguh-sungguh ingin menjadi ratu No-1 dunia didalam sukan skuash. Begitu juga Adik Amalina yang bersungguh-sungguh mendapatkan 18A didalam SPMnya dan adik Siti Fatimah Binti Mukhtar dari Kelantan (18A SPM 2006). Sebaliknya jika kita hanya memasang Niat mati – hanya untuk menyedapkan hati sendiri dan tanpa sebarang usaha maka ianya akan cuma berjaya menghasilkan anggan-anggan sahaja.

Kita perlu membersihkan hati dan berdoa bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ketaqwaan daripada Allah S.W.T.


Modul Kedua – Solat Tarawih

Tidak seperti ibadah-ibadah yang lain, Solat Tarawih (juga solat Jumaat..... tambahan penulis) adalah kebiasaanya dilakukan secara berjemaah di surau-surau atau dimasjid-masjid. Kita akan dapati surau-surau serta masjid-masjid kita akan tiba-tiba penuh bulan Ramadhan, tidak seperti hari-hari atau bulan-bulan lain. Malahan ada yang merasakan tidak sah kalau tak dibuat di surau atau di masjid. Ini akan menjadikan atau melahirkan semangat untuk sembahyang secara berjemaah di surau/masjid. Beliau menyatakan perbuatan kita sehari-hari adalah hasil minda separa sedar yang telah dibina awalnya oleh minda sedar.


Beliau memberikan contoh seorang yang belajar memandu kereta - untuk melayakkan lulus ujian, setiap pemandu apabila duduk di atas kerusi kereta akan terus membetulkan cermin belakang, cermin sisi, kedudukan gear, tali pinggang keledar serta kedudukan tangan pada stereng kereta sebelum menghidupkan engin kereta. Begitu juga apabila mula bergerak, pemandu akan berusaha mengikuti ilmu yang diajar dalam urusan menukar gear, memberi isyarat membelok sebelum membuat pusingan, menekan brek secara betul semasa ingin memberhentikan kenderaan. Kedua-dua tangan akan sentiasa memegang stering. Ini semuanya dilakukan dengan minda yang sedar. Apabila telah lulus dan telah biasa memandu, kita sudah tidak lagi memandu menggunakan minda sedar (conscious mind) tetapi sebenarnya menggunakan minda separa sedar (subconscious mind) kerana kita telah mahir dan telah biasa melakukanya. Malahan kini ada yang boleh menulis dan menghantar sms semasa memandu (komen penulis sahaja). Kehadiran kita ke surau dan masjid sepanjang 30 hari Ramadhan boleh melahirkan rasa ”biasa” ke masjid dan seterusnya melahirkan jiwa yang sentiasa terikat dan cintakan masjid (rumah Allah). Ini satu lagi proses pembudayaan diri sebagai persediaan menjadi manusia yang bertaqwa.


Modul Ketiga - Sahur

Sebenarnya sahur bukan sahaja berperanan sebagai masa untuk makan bagi bekalan serta menggantikan sarapan pagi dan tengahari disepanjang bulan Ramadhan. Sebenarnya ia berperanan jauh lebih dari itu tanpa kita sedar. Apabila kita bersahur, sebenarnya kita membiasakan diri kita untuk bangun pagi dan melakukan ibadat (bersahur juga ibadat seperti mana yang dijelaskan dalam hadis Nabi). Bersahur juga membezakan puasa orang muslim dengan puasa agama hindu, majusi atau yahudi (tambahan penulis). Bersahur sepatutnya menjadikan kita bersedia untuk bangun awal pagi dan melakukan ibadah qiamulail sebelum bersahur dan akhirnya solat subuh. Ianya menjadi latihan untuk kita sentiasa bangun awal pagi dan melakukan ibadah. Malahan (catatan penulis) waktu imsak (lebih kurang 10 minit) yang berguna sebagai panduan untuk berhenti makan dan bersedia menunggu masuk waktu subuh juga sebenarnya boleh digunakan untuk melakukan qiamulail ringkas iaitu sekadar melakukan solat sunat tahajud, solat taubat, solat hajat dan witir.

Ibadah qiamulail ini seharusnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh (full-swing) khususnya dipenghujung Ramadhan ini. Kita boleh melakukan pelbagai amalan sunat diwaktu tengah malam ini sementara menunggu masa bersahur. Kita boleh melakukan solat sunat tahajud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat dan solat witir. Kita juga boleh berzikir, berdoa, membaca Al-Quran dan sebagainya untuk menguatkan rohani kita. Penulis ingin memberikan sedikit panduan untuk melakukan amalan ibadah solat-solat sunat semasa qiamulail atau di waktu-waktu lain.


Solat Sunat Tasbih – solat sebanyak 4 rokaat. Didalam solat ini kita disunatkan membaca tasbih (SubhanAllah walhamdulillah walailahaillAllah Allahuakbar) sebanyak 300 kali iaitu 75 kali setiap rokaat. Ada pendapat yang menyatakan kita perlu melakukan ibadah ini sekurang-sekurangnya sekali seumur hidup. Cara yang biasa dilakukan ialah di baca 15 kali tasbih selepas membaca surah, 10 kali semasa rukuq, 10 kali semasa berdiri selepas rukuq, 10 kali dalam sujud pertama, 10 kali semasa duduk antara dua sujud, 10 kali semasa sujud kedua dan 10 selepas sujud kedua sebelum bangun untuk rokaat kedua (kita akan duduk seperti duduk antara dia sujud). Perkara yang sama dilakukan untuk rokaat kedua, cuma 10 kali tasbih dibaca selepas tahayyat akhir. Perkara yang sama diulang untuk dua rokaat berikutnya.


Adalah digalakan dilakukan secara dua salam (dua rokaat setiap kali) apabila dilakukan di waktu malam, untuk mengelakan mengantuk. Diwaktu siang, digalakkan dilakukan secara satu solat iaitu 4 rokaat dengan satu salam. Untuk 4 rokaat satu salam, 10 kali tasbih untuk rokaat kedua dan keempat adalah dibaca selepas tahayyat awal dan tahayyat akhir, masing-masing.


Solat Sunat Hajat – ini dilakukan sekurang-kurangnya dua rokaat dan ada pendapat yang menyatakan sebaiknya dilakukan sehingga 12 rokaat (peringatan – ini adalah solat sunat – tidak perlu dirisaukan buat 2, 4, 6 ,8 , 10 atau 12, yang penting buat seberapa yang termampu. Kalau tak mampu, tak buat pun tak berdosa). Disunatkan pada rokaat pertama, selepas membaca surah Al-Fatihan kita membaca ayat Al-Kursi dan diikuti dengan tiga kali surah Al-Kafiruun. Untuk rokaat kedua, selepas Al-Fatihan kita membaca ayat Al-Kursi dan diikuti dengan tiga kali surah Al-Ikhlas. Semasa sujud terakhir (rokaat kedua) kita digalakkan bersujud agak lama agar kita dapat berdo’a kepada Allah untuk ditunaikan sebarang hajat yang diingini.


Modul Keempat – Puasa

Akhir sekali barulah kita masuk kepada berpuasa yang sebenarnya. Imam Al-Ghazali mengkategorikan puasa kepada tiga i) puasa orang awam, ii) puasa khusus dan iii) puasa khusus wal khusus. Puasa awam adalah puasa yang sekadar menjauhi makan, minum dan perkara-perkara yang mambatalkan puasa sahaja. Ini tidak mampu melahirkan sifat taqwa. Puasa khusus pula dengan bukan sahaja menahan dari melakukan perkara yang mambatalkan puasa tetapi juga menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang mambatalkan pahala puasa kita. Ini adalah seperti melihat benda-benda yang diharamkan, berdusta, mengumpat, melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah. Akhir sekali puasa ketiga, selain dari melakukan puasa khusus, kita juga perlu membersihkan diri dan melakukan ehsan iaitu melahirkan rasa bahawa Allah sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan. Apabila bersembahyang, kita merasakan bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah dan berbicara serta berdoa kepadaNya. Setidak-tidaknya kita lahirkan rasa sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan perbuatan kita, bayangkan Allah sedang melihat kita semasa sedang bersolat. Jika ini dapat dilakukan, kita sudah pasti tidak akan lalai atau tidak khusyuk semasa melakukan solat. Kita tidak akan berfikir mengenai perkara lain semasa bersolat melainkan sentiasa merasakan perbuatan, bacaan serta isi hati kita sedang diperhatikan olah Allah. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang melakukan kedua-dua jenis puasa terkakhir ini kerana ianya jalan yang hampir pasti untuk kita menjadi seorang bertaqwa.


Begitulah serba-sedikit isi kandungan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Long bin Kechik, Esekutif Latihan Kanan, Institut Latihan TNB pada 23 September 2008. Semoga penulisan ringkas ini ada manfaatnya untuk kita semua dalam usaha kita merebut malam lailatulqadar serta mendapatkan darjat taqwa yang dijanjikan Allah. Penulis memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan dalam penulisan ini. Segala yang baik adalah dari Allah S.W.T. dan kekurangan adalah sifat semulajadi penulis sendiri.

Wallahua’lam.


Abu Ahmad

Bangi Al-Madinatul Jadid

Saturday, September 20, 2008

Assalamualaikum w.b.t, Alhamdulillah kita dapat bersama berada dibulan mulia yang penuh keberkatan ini dengan baik. Esok kita akan masuk ke peringkat 10 hari terakhir Ramadhan. semoga kita dapat meningkatkan lagi amal ibadah kita dan dikurniakan dengan rahmat malam Al-Qadar yang diidam-idamkan oleh kita selama ini. Demi untuk menjayakan aktiviti Ramadhan tahun ini, Ustaz Zamri telah menganjurkan Qiamullail pada malam 21 Ramadhan ini bermula pukul 4 pagi sehingga waktu sahur dan subuh beramai-ramai. Warga taman dijemput hadir. Program Tadarrus Al-Quran juga telah sampai ke penghujungnya. Majlis khatam Quran akan diadakan disurau kita pada hari Ahad 22 Ramadhan selepas terawih 8 raka'at. Sumbangan juadah moreh amat digalakkan.

Dikesempatan ini juga, pihak AJK Persatuan Penduduk Desa Sentosa ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga taman yang telah sudi menyumbang untuk menjayakan aktiviti surau kita. Semoga Allah membalas jasa baik Tuan/Puan dan sentiasa dilindungi-Nya Insya'Allah.

Jika memandu pulang ke kampung, berhati-hati di jalan raya dan semoga selamat perjalanan pulang ke kampung dan pulang semula ke desa Sentosa.

Untuk memastikan harta kita yang ditinggalkan di taman ini dijaga, AJK juga meneruskan program berkawal malam seperti tahun-tahun sebelumnya. Kepada yang masih belum menyerahkan yuran anda beserta maklumat diri, harap dapat berbuat demikian kepada wakil jalan atau AJK Keselamatan (En. Muhammad Abd Ghalim) secepat mungkin untuk melancarkan program ini.

Semoga kita bertemu di Ramadhan tahun hadapan Insya'Allah.

Wednesday, September 3, 2008

Ramadhan kembali lagi

Alhamdulillah kita dapat bersama-sama di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Di bulan yang mulia ini, surau Desa Sentosa sudah tentu mengalami pembaharuan dan penambahbaikan. Projek membesarkan surau juga sudah selesai. Nampaknya kaum wanita semakin selesa mengerjakan sunat tarawih di surau kita. Maklumlah aircond sudah ditambah, tirai baru sudah dipasang dan kawasan semakin luas. Terima kasih kepada AJK PPDS yang prihatin dengan kaum wanita Desa Sentosa.

Selain itu, surau juga menganjurkan majlis berbuka puasa yang disertai oleh penduduk Desa Sentosa sendiri sepanjang bulan Ramadhan. Jadual telahpun diedarkan dan ditampal di papan kenyataan surau. Jika ada kelapangan, jemputlah bersama-sama memeriahkan majlis ini. Sumbangan juadah untuk berbuka dan moreh juga dialu-alukan.

AJK Surau juga menjual kurma Yusoff Taiyub dengan harga RM10 sekotak. Sambil membeli sambil menderma untuk menampung perbelanjaan surau kita. Selepas solat tarawih, AJK menjemput kita untuk memeriahkan aktiviti bertadarrus Al-quran.

Semoga amal ibadah kita diberkati Allah dan Desa Sentosa akan sentiasa dilindungi-Nya Insya'Allah.

Sehingga berjumpa dilain coretan.... Selamat berpuasa.

Saturday, August 16, 2008

Assalamualaikum w.b.t kepada Warga Desa Sentosa yang dikasihi. Maaf kerana sudah lama tak update blog ni. Terlupa login pulak... Ni baru jumpa. Dalam beberapa bulan ini, terdapat pelbagai peristiwa di Taman kita.... Pertama sekali, pihak AJK mengucapkan takziah kepada AJK Desa Sentosa yang kita kasihi, Allahyarham Amin Naser yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 Julai 2008. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh rakan-rakan terutama bila dekat dengan Ramadhan ni. Masih terngiang suara bilal Naser kita..... Bersama-sama kita do'akan semoga roh beliau ditempatkan disisi orang-orang yang beriman Insya'Allah.















Pada 26 Julai 2008, Ustaz Hj. Fauzi telah mengadakan kenduri kesyukuran di Surau Desa Sentosa. Alhamdulillah semuanya brjalan dengan baik dan lancar. Terima kasih kepad warga taman yang menjayakan masak-memasak beramai-ramai (4 kawah gulai daging). Dengarnya sedap tak terkata.

Sempena Ramadhan yang semakin hampir, pihak AJK mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1429 H dengan penuh iltizam dan semoga sihat walafiat untuk mengerjakan rukun iman kita.

Sekian dahulu daripada Moderator

Sunday, April 6, 2008

Mesyuarat Agong 5 April 2008 berjalan lancar

Alhamdulillah mesyuarat Agong yang dirancang oleh AJK PPDS 2007/2009 dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendapat sambutan lebih 90 ahli berdaftar. Terima kasih diucapkan kepada semua warga Desa Sentosa yang telah bersama-sama bertungkus-lumus menjayakan aktiviti tahunan ini. Tahniah kepada penerima anugerah pelajar cemerlang 2006/2007 yang telah menerima sijil penghargaan. Sempena Maulidur Rasul tahun ini, PPDS juga menyediakan hadiah untuk 3 kategori iaitu :
1. Kemasyarakatan - Ustaz Haji Fauzi Abdul Majid
2. Kerohanian - Ustaz Haji Abdul Latif Abdullah
3. Hawa - Ustazah Normuriani Mustaffa
(Pemenang dipilih berdasarkan undian oleh ahli PPDS)

Tahniah kepada penerima anugerah tahun ini. Kepada kaum hawa, terima kasih kerana mengerah tenaga untuk menyediakan jamuan tengahari nasi ayam. Penglibatan aktif kaum telah memeriahkan lagi aktiviti taman. Diharapkan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan oleh mereka di masa akan datang.

Mesyuarat ditangguh lebih kurang pukul 12.50 tengahari.

Salam perkenalan

Assalamualaikum w.b.t, laman blog ini ditujukan khas untuk Penduduk Desa Sentosa, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor. Diharapkan laman ini dapat memberikan manfaat kepada penduduk di dalam mengeratkan lagi silaturrahim sesama penduduk. Sebarang komen bolehlah disalurkan ke laman blog ini

Wassalam
desa.sentosa@gmail.com